Wednesday 2 May 2012

STPM sistem baru!!!

Assalammualaikum... baru-baru mak aku bagi tau yang tingkatan 6 2012 akan ada sistem semester. jadi aku pun start sedih sebab aku tak dapat tingkatan 6.. jadi kepada yang bakal menjadi pelajar tingkatan enam.. ucaplah syukur kepada Nya.... jadi jom kita review maklumat yang aku dapat.
 __________________________________________________________________________________

Format STPM Baru 2012/2013

STPM 2012 2013
KUALA LUMPUR 7 Mac – Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) akan melaksanakan sistem pentaksiran baharu dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bermula sesi pengambilan 2012/2013 yang akan memulakan pengajian pertengahan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Maziyan Hamzah berkata, melalui sistem baharu itu pengajian peringkat STPM akan menggunakan sistem penggal dan pemarkahan tidak lagi bergantung 100 peratus pada peperiksaan.
Katanya, pengajian selepas ini akan dibahagikan kepada tiga penggal dan pelajar perlu menduduki peperiksaan di setiap hujung penggal.
“Akhirnya kesemua markah itu akan dicampur sebelum keputusan penuh dikeluarkan selepas menduduki peperiksaan penggal ketiga,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan STPM 2011 di sini hari ini.
Tambahnya, melalui sistem baharu itu juga pelajar mempunyai peluang untuk menambah baik keputusan mereka apabila diberi kelonggaran untuk menduduki semula peperiksaan penggal yang dirasakan perlu.
“Namun mereka hanya boleh mengulang peperiksaan penggal apabila sudah berada di pengajian penggal ketiga sahaja,” jelasnya.
Menyentuh mengenai pemarkahan pula, beliau menegaskan bahawa, pemarkahan akan terbahagi kepada dua iaitu 60 hingga 80 peratus merupakan markah peperiksaan manakala baki 20 hingga 40 peratus adalah markah kerja kursus.
“Pembahagian markah itu bergantung kepada mata pelajaran yang diambil dan mereka wajib untuk menyiapkan kerja kursus bagi melayakkan menduduki peperiksaan,” ujarnya.
Mengulas mengenai sistem baharu tersebut, Maziyan berkata, ia akan memberi kelebihan kepada pelajar kerana kandungan pengajian akan dibahagikan kepada tiga bahagian kurikulum berdasarkan kelompok tajuk atau mengikut kesesuaian mata pelajaran.
“Justeru pelajar akan diuji mengikut kelompok tajuk yang sedikit di setiap hujung penggal dan bukan lagi seperti sekarang yang akan diuji secara keseluruhan apabila menduduki kerusi STPM,” jelasnya.
Bagaimanapun beliau memberitahu, tempoh pengajian dan peruntukan waktu pengajaran adalah sama seperti sedia ada dan bilangan mata pelajaran yang ditawarkan juga tidak berubah.
Untuk melihat format baharu STPM sesi 2012/2013, sila rujuk laman web MPM.

___________________________________________________________________________________

FORMAT BARU TINGKATAN 6

  • Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) telah mengumumkan bahawa suatu sistem penilaian baru akan dilaksanakan bagi peperiksaan STPM mulai tahun ini.
  • Pelajar akan dinilai dengan peperiksaan dan kerja kursus.
  • Akan ada 3 jenis kerja kursus- projek atau tugasan, kerja makmal dan kajian lapangan.
  • Pelajar akan menduduki 3 peperiksaan, dimulakan dengan Tingkatan 6 rendah. Tempoh STPM masih kekal seperti dahulu.
  • Penilaian kerja kursus akan dijalankan oleh guru matapelajaran di sekolah sementara penilaian penuh akan dijalankan oleh MPM.
  • Pencapaian pelajar akan dinilai setiap semester dan keputusan peperiksaan juga akan diumumkan setiap semester. Keseluruhan keputusan STPM akan dikumpulkan berdasarkan jumlah dari 3 semester.
  • Satu daripada kelebihan sistem baru ini adalah, pelajar akan dapat mengulangi peperiksaan pertama dan/atau kedua dalam semester ketiga. Pelajar juga dapat mengulangi peperiksaan semester ketiga selepas keputusan diumumkan.

___________________________________________________________________________________

PELAJAR lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melanjutkan pelajaran di tingkatan enam mempunyai peluang cerah menjejakkan kaki ke institut pengajian tinggi (IPT).

PELAJAR lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melanjutkan pelajaran di tingkatan enam mempunyai peluang cerah menjejakkan kaki ke institut pengajian tinggi (IPT).

Ini kerana, tingkatan enam ibarat prauniversiti dan dengan keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), ia melayakkan mereka mengikuti program ijazah.
Walaupun STPM bagaikan satu tiket ke IPT, kebanyakan pelajar lepasan SPM kini tidak berminat melanjutkan pelajaran di tingkatan enam sebaliknya memilih institut pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk meneruskan pengajian.

Mana tidaknya, walaupun dikatakan prauniversiti, sistem pembelajarannya tetap dilaksanakan seperti sistem persekolahan biasa di sekolah menengah.

Selain itu, pelajar di tingkatan enam turut merungut kerana perlu belajar mata pelajaran yang membebankan dan apabila mendapat keputusan STPM, mereka tiada peluang ke IPT.

Justeru, bagi menarik minat lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke tingkatan enam, sistem terminal yang dilaksanakan kini akan di gantikan dengan sistem modular.

Sistem modular adalah sama dengan sistem di universiti yang membabitkan tiga semester.

Menerusi sistem modular, pelajar hanya menumpukan kepada modul semester berkenaan berbanding sistem penggal, pelajar terpaksa mengulang kaji pelajaran dari Tingkatan Enam Bawah hingga Tingkatan Enam Atas.

Kaedah taksiran modular akan mengambil kira empat komponen iaitu penilaian berasaskan kurikulum dengan amalan peperiksaan biasa, projek sekolah, kerja amali dan ujian berasaskan sistem peperiksaan 'open book'.

Dalam sistem modular, 20 hingga 30 peratus keputusan STPM diperolehi dari tugasan kursus atau projek dan penilaian lain selain kerja amali manakala 70 hingga 80 peratus bergantung kepada peperiksaan akhir pengajian.

Peperiksaan akhir tahun masih perlu dalam STPM untuk menentukan tahap keupayaan pelajar apabila memohon ke universiti.

Walaupun sistem itu hanya dilaksanakan menjelang 2011, pelbagai pihak memberi pandangan pro dan kontra.

Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, berkata pihaknya menyokong sistem modular menggantikan sistem terminal.

Beliau berkata, pembelajaran di tingkatan enam ibarat tadika sebelum masuk darjah satu dan ia perlu disesuaikan dengan suasana persekolahan supaya mereka tidak panik.

"Jika dilihat pembelajaran di tingkatan enam sekarang, ia sangat terikat sistem persekolahan biasa.

"Kita mahu pelajar tingkatan enam menuntut dalam persekitaran universiti sebenar kerana ia persediaan awal sebelum melangkah ke IPT.

"Dengan sistem modular, kita dapat membezakan pembelajaran di tingkatan enam dan sekolah menengah walaupun di kawasan yang sama," katanya.

Katanya, secara tidak langsung, sistem itu mengangkat martabat tingkatan enam dan lagi dianggap pilihan terakhir melanjutkan pelajaran.

"Kita sedia maklum, ada sesetengah pelajar melanjutkan pelajaran di tingkatan enam kerana gagal memperoleh tawaran dari IPT atau matrikulasi.

"Justeru, mereka menganggap tingkatan enam tempat terakhir menyambung pelajaran," katanya.

Beliau percaya sistem baru ini akan membuka minda pelajar tingkatan enam keluar dari kepompong pelajar sekolah dan lebih setaraf dengan rakan-rakan mereka di IPT.

"Sistem ini akan membantu pelajar untuk berfikir jauh dan tidak terikat dengan pemikiran pelajar sekolah," katanya.

Sementara itu, bekas pelajar tingkatan enam, Amelia Ahmad Kamal, 27, berkata sistem itu langkah yang bijak dan sepatutnya sudah lama dilaksanakan.

"Tanyalah sesiapa pasti mereka mengakui cara belajar di tingkat enam sangat menyusahkan.

"Untuk menghadapi STPM, kami membaca semua buku tingkatan enam bawah dan atas yang dipelajari sepanjang dua tahun.

"Jika tersilap langkah dan gagal menguasai subjek yang dipelajari sepanjang dua tahun itu, mereka akan kecundang dan tiket ke IPT lebur begitu saja," katanya.

Selain itu, dengan sistem penggal seperti mana yang dilaluinya dulu, ia membataskan kreativiti pelajar dan menjadikan mereka tidak berkembang.

"Sebagai pelajar di tingkatan enam, kita sebenarnya setaraf dengan pelajar di IPT dan sudah boleh berfikir dengan lebih meluas.

"Tetapi, dengan sistem pembelajaran itu, kita tidak punya masa untuk semua itu dan akan lebih memfokuskan kepada pelajaran," katanya.
myMetro: 6 Julai 2009
 __________________________________________________________________________________
petikan Utusan Online

TRANSFORMASI pendidikan melalui pelaksanaan sistem pentaksiran baharu Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dilihat seperti serampang dua mata iaitu ingin menarik lebih ramai pelajar untuk menduduki peperiksaan tersebut kerana jumlahnya semakin berkurangan tahun demi tahun.
Keduanya untuk menyesuaikan dengan perkembangan baru dalam dunia pendidikan pra universiti iaitu berasaskan ‘outcome based education’ bertujuan melahirkan modal insan cemerlang yang menekankan ‘character building’ dan memiliki kemahiran insaniah atau ‘soft skills.’ Pendekatan dan kaedah ini telah pun diamalkan dalam kurikulum dan peperiksaan peringkat antara bangsa iaitu ‘A Level’ dan ‘International Baccalaureate’ (IB).
Seperti biasa selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan hampir setengah juta pelajar akan mengikut haluan sendiri untuk mengejar cita-cita masing-masing.
Nampaknya mereka mempunyai pilihan yang terbuka luas sama ada ingin mengikuti pengajian di peringkat diploma, mengambil sijil kemahiran, mengikuti kelas matrikulasi atau memasuki tingkatan enam bagi mengambil STPM.
Bagi mereka yang tidak berminat melanjutkan pelajaran boleh saja memohon pekerjaan di sektor awam atau swasta. Atau yang memiliki bakat keusahawanan mungkin akan melakukan kerja sendiri sama ada berniaga, bertani dan sebagainya. Sementara itu, mereka yang ingin melanjutkan pelajaran di seberang laut boleh mengambil peperiksaan ‘A Level’ atau ‘IB’ yang ditawarkan di kolej-kolej swasta tertentu.
Sesungguhnya tidak sukar melanjutkan pelajaran tinggi di negara kita. Terdapat ratusan institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di seluruh negara yang menawarkan ratusan jenis kursus. Pilihlah mana yang sesuai dengan minat dan keupayaan sendiri atau seperti kata pepatah ‘tepuk dada tanya selera.’ Jangan lupa bidang yang dipilih mestilah mempunyai nilai dan permintaan tinggi di pasaran pekerjaan jika tidak mungkin akan menimbulkan masalah selepas bergraduat nanti.
Dari segi kewangan pula jangan bimbang, kita ada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) atau Pinjaman Pelajaran MARA yang sedia membiayai pengajian secara pinjaman bagi mereka yang memenuhi syarat.
Beruntunglah mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM kerana Jabatan Perkhidmatan Awam, Bank Negara dan banyak lagi institusi awam, swasta dan badan-badan persendirian yang sudi membiayai pengajian mereka sama ada di dalam atau luar negara.
Bagi tujuan menarik minat lebih ramai pelajar untuk memasuki tingkatan 6, Majlis Peperiksaan Negara (MPM) akan memperkenalkan peperiksaan STPM baharu yang diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada pada 4 Januari 2012.
Perubahan ini akan dimulakan kepada pelajar tingkatan 6 bawah yang akan mendaftar mulai Mei 2012 ini. Mereka merupakan pelajar kohort pertama yang akan mengambil peperiksaan STPM baharu yang akan diduduki pada akhir tahun 2013 nanti.
STPM dulunya dikenali sebagai High School Certificate (HSC) telah dimulakan sejak 1950an yang merupakan satu-satunya peperiksaan untuk membolehkan seseorang diterima masuki universiti. Apabila Dasar Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan mulai 1970 maka secara beransur-ansur peperiksaan STPM menggantikan HSC.
STPM mempunyai kelebihan kerana kurikulumnya berbentuk umum. Misalnya pelajar aliran kemanusiaan akan mengambil subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Ekonomi, Sejarah dan Pengajian Am di mana mereka boleh memilih untuk memasuki sama ada fakulti Ekonomi, Undang-Undang, Pengajian Perniagaan, Sastera atau Sains Sosial apabila memasuki universiti nanti.
Ini berbeza dengan pelajar yang mengambil diploma atau matrikulasi di mana bidangnya lebih menjurus kepada pengkhususan. Misalnya, bagi mereka yang mengambil Diploma Pendidikan akan mengikuti Ijazah Pendidikan apabila memasuki universiti. Demikian juga aliran matrikulasi yang kebiasaan akan mengikuti ijazah dalam sains tulen.
Bagi melaksanakan transformasi ini kajian dan projek rintis telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas. Ini bagi memastikan supaya perubahan ini dapat dilaksanakan dengan lancar seperti yang dirancangkan. Bermula pengambilan pelajar tahun ini mereka akan mengikuti pengajian berbentuk penggal iaitu setiap hujung penggal akan diadakan peperiksaan.
Ini bermakna pelajar tidak lagi dibebankan dengan peperiksaan di akhir tahun. Peperiksaan setiap penggal akan diberikan wajaran iaitu 20% hingga 40% dan dikendalikan secara Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).
Sementara itu, peperiksaan akhir wajarannya sebanyak 60% hingga 80% adalah peperiksaan berpusat yang dikendalikan oleh MPM. Ini bermakna kandungan kurikulum menjadi lebih ringan kerana dibahagi kepada tiga penggal. Pelajar-pelajar akan mempunyai masa lebih untuk membahagikan aktiviti pembelajaran mereka.
Apa yang menarik dengan kaedah baru ini sekiranya pelajar mendapat keputusan yang tidak memuaskan bagi setiap akhir penggal mereka boleh mengulang semula subjek berkenaan di penggal seterusnya. Pelajar yang tidak mencapai keputusan yang baik bagi penggal 3 boleh juga menduduki semula peperiksaan akhir penggal 3 sahaja pada Mac/April tahun berikutnya.
Keputusan keseluruhan peperiksaan STPM Baharu ini adalah berdasarkan gabungan keputusan terbaik bagi ketiga-tiga penggal. Dengan cara ini memberi peluang kepada pelajar untuk memperbaiki keputusan peperiksaan supaya ia benar-benar terbaik. Keputusan ini dijangkakan memberi peluang lebih besar kepada pelajar untuk terpilih memasuki universiti nanti.
STPM baharu ini disediakan agar selari dengan perkembangan penilaian dan peperiksaan di peringkat antarabangsa. Misalnya kurikulum ‘A Level’ dan ‘IB’ bukan lagi menekankan peperiksaan bertulis semata-mata tetapi turut menilai pelajar melalui tugasan dan kerja kursus seperti penyediaan kertas projek, kertas seminar dan kajian luar.
Bagi melahirkan modal insan cemerlang ditekankan pula kemahiran insaniah atau ‘soft skills’ seperti menggalakkan aktiviti secara berkumpulan, kemahiran berkomunikasi, membina asas kepimpinan dan menggalakkan mereka sentiasa berfikir secara kritis. Dalam STPM baharu ini semua kaedah tersebut diterapkan dengan memberikan markah kepada gerak kerja dan aktiviti tersebut melalui PBS.
Penyebaran maklumat tentang STPM baharu ini perlu dilakukan secara meluas kepada pelajar dan ibu bapa agar lebih ramai pelajar memasuki tingkatan 6 dan menduduki peperiksaan STPM.
Moga-moga kita akan dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang berketerampilan dan berdaya saing sebelum mereka menjejakkan kaki ke universiti nanti. Walau apa pun tahniah dan syabas kepada MPM.

0 ulasan: